Sep 19, 2025 - FASSelangor FC terpaksa akur dengan keputusan 2-4 menentang Bangkok United dalam saingan AFC Champions League Two di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.
Bangkok United mendahului dengan dua gol menerusi Ilias Alhaft dan Muhsen Al-Ghassani sebelum Chrigor cuba merapatkan jurang pada minit ke-23 selepas menerima hantaran daripada Quentin Cheng. Tidak lama selepas itu, Ilias Alhaft menjarakkan kedudukan kepada 3-1. Selangor FC terpaksa beraksi dengan hanya 10 pemain selepas Harith Haiqal dilayangkan kad merah sebelum separuh masa pertama berakhir. Izwan Yuslan, pemain muda Gergasi Merah, memberi nafas baharu dengan ledakkan padu beliau pada minit ke-73, sebaik sahaja beliau dimasukkan. Namun, kebangkitan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Philipe Maia memastikan kemenangan 4-2 buat pasukan pelawat pada minit ke-84.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, akui kesilapan kecil menghukum pasukan, namun, gembira kebangkitan yang dipamerkan.
“Kita jelas dihukum daripada kesilapan-kesilapan kecil dalam perlawanan semalam. Banyak yang perlu perbaiki terutamanya dari segi taktikal. Kita membuka ruang kepada Bangkok United dan mereka manfaatkan peluang tersebut. Saya mengambil tanggungjawab penuh daripada keputusan perlawanan semalam. Kita akan belajar daripada kesilapan ini dan jadikan satu pengajaran penting untuk perlawanan akan datang,” jelas beliau
Walau bagaimanapun, saya bangga dengan semangat berpasukan yang dipamerkan walaupun bermain dengan hanya 10 orang dari mini ke-40 perlawanan. Kita berjaya bangkit, masih mencipta peluang dan jaringkan dua gol. Tetapi kami perlu elakkan situasi sebegini. Kurang komunikasi dan kesilapan taktikal perlu diperbaiki. Kita akan terus berjuang, ubah mentaliti, dan fokus untuk perlawanan seterusnya,” tambahnya lagi
Seterusnya, skuad Gergasi Merah akan berdepan Kuching City FC bagi saingan Liga Super 2025/26 pada hari Ahad ini, 21 September jam 4:45 petang di Stadium Negeri, Sarawak.
Pihak pengurusan Selangor FC dan pasukan mengucapkan ribuan berterima kasih kepada 3,497 para penyokong yang hadir ke Stadium MBPJ, Kelana Jaya bagi saingan AFC Champions League Two biarpun perlawanan dimainkan pada hari bekerja.
Demi Kebanggaan!